Entry: Aidilfitri di perantauan Saturday, October 11, 2008



"Ikhlaskan hati mohon kemaafan, leburlah dosa di tapak tangan, lupakan segala silap dan salah... insan bersatu membina ummah..."

Terlebih dahulu saya ingin memohon ampun dan maaf zahir dan batin sempena kedatangan Syawal yang mulia ini. Semoga semua ibadah kita di bulan Ramadhan diterima Allah SWT. Maaf juga dipinta kerana sudah agak lama tidak mengisi ruang di blog. Niat di hati mahu mencoret sedikit di pagi 1 Syawal yang lepas, tetapi sibuk lah pula dengan pelbagai "acara" yang telah diatur teman-teman sejak dua minggu yang lepas.

Acaranya cuma ada dua, solat sunat aidilfitri di Masjid Ponsonby, Auckland dan kunjungan ke rumah-rumah keluarga Malaysia dan sahabat-sahabat di Auckland. Disebabkan jarak antara rumah-rumah yang ingin dikunjungi itu agak jauh, terasa seperti berada dalam kereta untuk pulang ke kampung halaman. Rasa macam di Malaysia pula. Syukur alhamdulillah diberikan Allah kesempatan untuk menikmati aidilfitri walaupun di rantau orang. Dan ketika menjamah juadah hasil air tangan bonda-bonda Malaysia di Auckland ini, hati terubat seketika pada masakan ibu.

Rumah pertama yang kami serang pada pagi itu ialah rumah Auntie Priska. Hmmm, memang rambang mata dibuatnya, pelbagai juadah membuka selera. Soto, nasi tomato, rendang daging, pulut kuning, kuih muih... Saya memilih untuk menjamah soto kerana sudah sangat lama tidak merasainya setelah hampir 7 bulan bulan lebih di Auckland. Setelah soto, jamah pula pulut kuning dan rendang daging. Haha, lepas tuh "pause" sekejap sebab dah penuh. Setelah beberapa ketika, baru lah jamah biskut raya.

Lepas rumah Auntie Priska, kami ke rumah Kak Asiah di North Shore. Masuk-masuk aje ke dalam rumah, ternampak atas meja penuh hidangan kek, hmmm tak tahu nak makan yang mana satu. Tetapi kek "blueberry berkrim", hasil air tangan suami Kak Asiah memang sedap, sampai saya sendiri meminta Kak Asiah upload resepi di blog huhu... Setelah itu, kami pulang ke rumah untuk solat zuhur and then menyambung kembali pengembaraan ke rumah Auntie Fatimah dan Kak Tun. Kunjungan kami ke rumah Kak Tun selalunya memang lama, solat asar di sana, sempat bersembang dengan jiran Kak Tun, Auntie Nita yang berasal dari Filipina tetapi telah lama berada di New Zealand. Dapat pula jemputan Auntie Nita melihat-lihat rumah dan taman bunganya. Sebelum ini kami selalu tertanya-tanya (especially me) siapalah empunya rumah yang banyak betul tanaman bunga ni!! Tuah aidilfitri, dapatlah saya mengambil beberapa gambar di taman bunga Auntie Nita, malah selepas itu dihadiahi sejambak bunga dari taman beliau. Thank you very much Auntie Nita!

Habis episod di rumah Kak Tun, kami pergi pula ke rumah Kak Zakiah. Setelah itu pulang solat maghrib di rumah dan kemudian... hmmm menyambung lagi! Berkunjung pula ke apartment Zaida dan terakhir sekali ke rumah Zack dan Chah. Masa ni semua dah tak larat nak makan tetapi mata saya ternampak sesuatu yang saya idamkan, kek lapis! Hmmm, memang duduk mengadap itu saja dan menjamah sedikit nasi impit dan serunding - hah yang ini pun ditunggu-tunggu, alhamdulillah ada....

Sebaik sahaja sampai di rumah, saya menerpa ke bilik air, membersihkan diri, solat Isya' dan melihat-lihat persiapan untuk ke kelas pada hari esok! Begitulah episod menarik 1 Syawal di Auckland!

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments