Entry: Jangan tinggal daku..... wahai Ramadan yang penuh barakah! Thursday, September 25, 2008



"Ku mengharapkan Ramadan kali ini penuh makna..
Agar dapat kulalui dengan sempurna

Selangkah demi selangkah, setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu, hingga tak terasa ku berada di bulan Ramadan...
semula...."

Begitu pantas Ramadan berlalu... jika dihitung-hitung, hanya beberapa hari lagi tinggal untuk kaum Muslimin merebut pahala dan redha Allah di bulan yang penuh kemuliaan ini.

Ramadan kali ini begitu bermakna buat diri ini kerana pertama kali meraikannya di perantauan, menjalani ibadah sambil menuntut ilmu, suka dan duka dirasai seadanya. Riang tatkala berbuka bersama-sama teman seperjuangan di sini tetapi pada masa yang sama, sayu di hati mengenangkan betapa Ramadan kali ini disertai dengan pelbagai "episod menarik" di tanahair tercinta. Sebagai seorang anak "tanah pusaka" yang memandang dari kejauhan, hati kecil ini terusik, asyik bertanya, bilakan "konflik" ini akan berakhir... moga dengan kedatangan lebaran, akan leburlah dosa di antara "hati-hati ini" di tapak tangan... (itu hanya lah secebis harapan, berbekal doa!)

Alhamdulillah, semalam saya berkesempatan solat tarawikh berjemaah di salah sebuah masjid di Auckland - Masjid Ponsonby. Jemaah muslimat hanya dua saf tetapi roh sakinah dan ukhuwwah terasa menyentap ke sanubari. Sebelum solat, sempat disapa oleh seorang jemaah muslimat dari Palestin, yang sudah dua tahun berada di New Zealand. Sayang sekali, saya dan teman tidak sempat berbual lebih lanjut dengannya kerana waktu solat isya' sudah masuk ketika itu dan kami pula terpaksa meninggalkan dewan solat setelah selesai lapan rakaat solat tarawikh sebab takut tiada perkhidmatan bas lagi selepas jam 9 malam. However, it's a nice experience! InsyaAllah, kami akan ke sana lagi besok.

Pada ketika ini, saya berasa sangat bersyukur kerana dikurniakan Allah Ta'ala kesempatan untuk menuntut ilmu di bumi orang. Ramadan kali ini telah menyedarkan saya akan banyak perkara; erti sebenar kesabaran, erti kesyukuran, erti toleransi dan erti keyakinan pada pertolongan Allah! Maha Suci Allah yang mengajarkan segala-galanya! Betapa saya tidak ingin Ramadan ini berlalu pergi dengan pantas... moga ibadah kita semua diterima Nya, taqabbalallahu minna wa minkum!

Moga lebaran yang akan hadir ini menyatukan umat atas satu nama, insyaAllah!

   0 comments

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments